Sabtu, 29 Ogos 2009

HILANGNYA MALU SEORANG WANITA

Seorang wanita melintas jalan. Dia cantik dan bergaya. Kulitnya mulus, pipinya gebu, bibirnya ‘ulas limau’, alisnya lentik, hidungnya mancung, matanya bundar dan bercahaya. Dadanya juga agak bidang. Lengannya putih jari-jemarinya halus dan runcing. Baju sendat menampakkan pusat dan skirt pendek yang disarung ke tubuh beralun sekali sekala mengikut pergerakan tubuhnya.
Mata-mata yang melihat mula berimaginasi. Imaginasi itu pasti yang indah-indah dan sudah semestinya bukan hal-hal yang baik.
Di satu sudut yang lain, seorang gadis berpakaian sopan dengan bertudung sempurna duduk di tepi taman. Di sisinya seorang lelaki sederhana tinggi yang juga berpakaian sopan. Tangan mereka saling bertaut. Kadang-kadang, tangan si lelaki juga menjalari tubuh gadis. Mereka tersenyum , ketawa dan kelihatan sungguh bahagia.
Kelihatan juga sekumpulan gadis yang berpakaian sekolah, ketawa berdekah-dekah, saling bertepuk tampar. Sesekali jeritan nyaring memecah suasana. Beberapa orang daripada mereka tidak bertudung. Di jari mereka terselit sebatang rokok. Mereka menghisap rokok.
Wanita masa kini begitu liberal atau terbuka dalam banyak hal. Lihat sahaja golongan artis yang bebas berpakaian seksi dan banyak kali terlibat di dalam kancah skandal seks serta gambar dan video lucah mereka tersebar megah di internet. Bukan artis sahaja, pelajar sekolah dan gadis remaja juga sering terlibat dengan penyakit sosial yang memalukan itu.
Apa hukuman untuk mereka yang terlibat dengan perbuatan memalukan itu? Ini merupakan musibah yang memudaratkan maruah wanita iaitu kehilangan rasa malu atau pudarnya sifat malu dalam diri mereka.
Di tengah-tengah masyarakat tidak kira sama ada di bandar atau desa, wanita seperti yang digambarkan di atas boleh ditemui. Kononnya dahulu, gadis-gadis atau wanita-wanita yang seksi sebegini hanya boleh ditonton di bandar-bandar besar. Namun kini, pemandangan seperti itu sudah menular dan boleh dilihat di mana-mana jua.
Keterbukaan masyarakat dan pendedahan tentang dunia semasa membuatkan wanita mula membuang sifat malu ke sisi yang kononnya dikatakan sifat malu itu merencatkan pembangunan sosial dan kemajuan dalam dunia wanita.
Tidak hairanlah, kini wanita mula dipandang sebagai golongan yang kini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Wanita juga mula memegang pelbagai peranan dalam masyarakat , berkerjaya , bebas melontar pelbagai pendapat dan juga berani dalam melakukan sesuatu tindakan.
Tidak hairan juga komoditi pasaran ekonomi sebahagian besarnya untuk wanita, daripada wanita, dan mengeksploitasi wanita. Hal sebegini banyak dibincangkan bukan sahaja oleh peneliti sosiobudaya malahan golongan wanita sendiri yang mendakwa diri mereka feminis atau pejuang hak wanita.
Mereka memperkata tentang penindasan terhadap wanita, hak sama rata yang harus dinikmati oleh wanita dan pelbagai perkara lagi yang menuntut sesuatu keadaan di mana wanita boleh menikmati apa yang dinikmati oleh kaum lelaki.
Suatu hal yang kurang diperjuang oleh golongan feminis terutama untuk wanita yang beragama Islam ialah perjuangan mengembalikan wanita kepada lumrah asalnya iaitu memelihara maruah dan melapik diri dengan sifat malu.
Istilah malu mempunyai makna dan pengertian yang luas dalam Islam. Malu merupakan sebahagian daripada Iman. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang Iman”
Malu atau dalam bahasa arabnya ‘haya’ berasal daripada perkataan ‘hayat’ yang bermaksud kehidupan. Ia mencakupi sifat malu, memelihara aib diri dan orang lain,kesopanan, harga diri, dan bersikap jujur dalam menjaga dan memelihara maruah kerana Allah.
Dalam islam, sifat malu ditekankan pada setiap umatnya tidak kira sama ada wanita atau lelaki. Namun, wanita Muslimah ditekankan aspek menjaga maruah dan memiliki sifat malu memandangkan wanita merupakan golongan yang lemah, mempunyai 9 nafsu serta dikatakan paling ramai menghuni neraka. Tentang hal ini , Rasullullah bersabda yang bermaksud:
“ Aku melihat ke dalam syurga, maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita “. (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas dan Imran serta selain kedua-duanya)
Imam Qurthubi Rahimahullah telah menjelaskan hadis di atas dengan menyatakan : “ Penyebab sedikitnya kaum wanita masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka, kecenderungan mereka kepada kesenangan dunia dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal…”
Selain iman yang lemah, membuang sifat malu untuk mengejar apa yang diimpikan dalam hidup juga merupakan satu kesilapan besar yang menjerumuskan wanita ke kancah kehinaan. Walau bagaimanapun, sifat malu terbahagi kepada dua iaitu malu yang bersifat kebaikan dan malu yang bersifat kejahatan.
Wanita khasnya dituntut mempunyai sifat malu terutama hal yang berkaitan maksiat dan larangan-larangan Allah SWT. Apabila menghampiri hal-hal sebegini, mereka akan berasa malu dan seterusnya memikirkan balasan Allah SWT di dunia dan akhirat.
Manakala malu yang bersifat kejahatan pula ialah malu melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. Dalam hal ini mereka bukan sahaja melakukan apa yang dilarang oleh Allah, malahan melanggar system social masyarakat sehingga melupakan balasan di dunia dan akhirat.
Wanita muslimah atau wanita bertamadun tidak akan mengadaikan maruah dan membuang sifat malu semata-mata mahu kelihatan moden.
Mementingkan pandangan Allah SWT lebih bermakna daripada mementingkan pandangan masyarakat. Tidak kisahlah anda dilabel sebagai tidak moden, kolot dan sebagainya. Apa yang lebih penting ialah anda tahu menjaga maruah serta tahu kesan-kesan buruk yang akan berlaku kepada iman, maruah diri, keluarga dan masyarakat jika anda bertindak tidak tahu malu.
Memandangkan dunia semakin berkembang dengan segala macam teknologi dan perubahan dari semua aspek, sudah sewajarnya setiap wanita menilai kembali sifat semulajadi atau lahiriah seorang wanita yang suatu waktu dahulu cukup kebal dengan sifat pemalu.
Sifat pemalu tidak akan menyekat pergerakan wanita untuk mengikuti perkembangan dunia semasa. Malahan wanita yang pemalu lebih berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga kelak.
Sudah tiba masanya, kumpulan atau golongan yang memperjuangkan hak wanita dan dunia wanita mengubah persepsi mereka terhadap peranan wanita dalam dunia masa kini. Mengejar kekayaan, kemodenan, kesamarataan taraf, menghindar penindasan dan sebagainya harus diperjuang tanpa mengikis sifat wanita yang hakiki iaitu pemalu.
Malu adalah lambing iman yang akan membawa seseorang ke syurga. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : “ Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya “ (Riwayat Bukhari)
Pemalu bukan sahaja memperlihatkan kemanisan akhlak dan ketinggian akidah seseorang wanita, malah memelihara diri wanita itu sendiri daripada kehinaan dan kemusnahan peribadi secara beransur-ansur. Percayalah bahawa sifat malu tidak akan menyisihkan anda dari arus globalisasi, malah anda akan lebih berkeyakinan serta jelas dengan tujuan anda untuk melakukan sesuatu perkara…

MARHABAN YA RAMADAN AL-KARIMMM...

PERINGKAT PUASA SEBAGAIMANA DIGARISKAN OLEH IMAM AL-GHAZALI
Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin telah menyebut tiga tahap puasa iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus.
Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat.
Puasa khusus pula ialah menahan penglihatan, pendengaran, lidah, kaki, tangan dan seluruh anggota daripada melakukan dosa.
Sementara puasa khusus al-khusus ialah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan memikirkan sesuatu selain daripada Allah SWT. Puasa akan terbatal pada tahap ini lantaran memikirkan perkara selain Allah dan hari akhirat. Tahap puasa seperti ini ialah tahap nabi, as-siddiqin dan al-muqarrabin.
Menurut Imam al-Ghazali bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh perlulah menyempurnakan enam perkara :
1. Menundukkan pandangan dan menahan daripada melihat perkara tercela yag dibenci oleh syariat dan segala perkara yang oleh melalaikan hati daripada mengingati Allah SWT.
2. Memelihara lidah daripada menutur perkataan yang tiada faedah seperti gurau senda yang berlebihan, mengumpat dan dusta. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, banyak berzikir dan membaca al-Quran.
3. Menahan daripada mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang haram ditutur haram juga didengar.
4. Menahan anggota badan daripada melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki daripada perkara yang dilarang dan perut daripada memakan perkara yang syubhah ketika berbuka. Tiada ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahan daripada memakan perkara yang halal, tetapi berbuka dengan makanan yang haram.
5. Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan yang halal. Ini keran tiada bekas yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.
6. Hendaklah timbul di dalam hatinya perasaan takut dan pengharapan tinggi kepada Allah kerana dia tidak tahu puasanya diterima oleh Allah dan termasuk dikalangan orang yang berjaya atau puasanya tidak diterima lalu dia termasuk dikalangan orang yang rugi.
Dimanakah kedudukan puasa kita pada tiga tahap ini?? Moga-moga kita sering berusaha untuk menambah baik amalan kita dari hari ke sehari.. wassalam