Sabtu, 29 Ogos 2009

MARHABAN YA RAMADAN AL-KARIMMM...

PERINGKAT PUASA SEBAGAIMANA DIGARISKAN OLEH IMAM AL-GHAZALI
Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin telah menyebut tiga tahap puasa iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus.
Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat.
Puasa khusus pula ialah menahan penglihatan, pendengaran, lidah, kaki, tangan dan seluruh anggota daripada melakukan dosa.
Sementara puasa khusus al-khusus ialah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan memikirkan sesuatu selain daripada Allah SWT. Puasa akan terbatal pada tahap ini lantaran memikirkan perkara selain Allah dan hari akhirat. Tahap puasa seperti ini ialah tahap nabi, as-siddiqin dan al-muqarrabin.
Menurut Imam al-Ghazali bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh perlulah menyempurnakan enam perkara :
1. Menundukkan pandangan dan menahan daripada melihat perkara tercela yag dibenci oleh syariat dan segala perkara yang oleh melalaikan hati daripada mengingati Allah SWT.
2. Memelihara lidah daripada menutur perkataan yang tiada faedah seperti gurau senda yang berlebihan, mengumpat dan dusta. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, banyak berzikir dan membaca al-Quran.
3. Menahan daripada mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang haram ditutur haram juga didengar.
4. Menahan anggota badan daripada melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki daripada perkara yang dilarang dan perut daripada memakan perkara yang syubhah ketika berbuka. Tiada ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahan daripada memakan perkara yang halal, tetapi berbuka dengan makanan yang haram.
5. Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan yang halal. Ini keran tiada bekas yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.
6. Hendaklah timbul di dalam hatinya perasaan takut dan pengharapan tinggi kepada Allah kerana dia tidak tahu puasanya diterima oleh Allah dan termasuk dikalangan orang yang berjaya atau puasanya tidak diterima lalu dia termasuk dikalangan orang yang rugi.
Dimanakah kedudukan puasa kita pada tiga tahap ini?? Moga-moga kita sering berusaha untuk menambah baik amalan kita dari hari ke sehari.. wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan